ASSALAMUALAIKUM MATAHARI TERBIT
"KEUTAMAAN BAGI CALON YANG MEMPUNYAI SIJIL JLPT TINGKAT N3"
"Aku baru ada sijil level N4... itupun masih level upper beginner. Gumam Alya dengan meleret bibir tapi bukan senyum.
Dua minggu kemudian...
Alya membuka e-mel. Sedikit keluar jernihan air dari tubir mata.
Sejujurnya, dia masih belum 'beralih' untuk menerima takdir bahawa seseorang itu bukanlah tercipta untuknya. Terimbas, dikhianati oleh sahabat yang selalu dia menumpang curhat.
Kini telah terubati.
Hari ini adalah bukti sesuatu 'pembayaran' hasil dari sebuah usaha. Mendapat berita gembira setelah dirundung kesedihan. Akhirya, Alya menggapai peluang yang berharga. Betapa adilnya Tuhan.
* * * * *
Telinga rasa pedih berdengung. Alya menelan liur. Petua itu tidak asing untuk menyahkan dengung pada telinga. Sudah tujuh jam Alya berada atas awan dan waktu mendarat ke Lapangan Terbang Haneda tidak lama lagi. Alya tidur-tidur ayam dalam kapal kerana posisi tidur yang kurang selesa. Akan tetapi, rezeki Alya dapat tempat duduk kegemaran penumpang kapal sedunia iaitu sebelah tingkap. Keindahan bandar Tokyo yang timbul dari pandangan bawah pada saat itu, membuatkan mata Alya bugar dan gagal dari rasa kantuk. Pandangan bawah gelap kerana malam, namun dihiasi dengan cahaya bandar Tokyo yang bergemerlapan.
Di dalam Lapangan, urusan imigresen sudah sempurna. Alya berjalan ke balai ketibaan menunggu untuk di jemput oleh abang tercinta. Dia tekun mengikut panduan anak panah yang disediakan dalam tiga bahasa. Suasana lapangan dan staf-staf di sana sangat bertanggungjawab memudahkan pelancong mendapat petunjuk jalan. 15 minit berjalan menuju ke balai ketibaan, akhirnya dia bertemu dengan sosok yang sangat dia rindui iaitu Afeef abang kandungnya dan kakak ipar. Masing-masing melambai tangan.
Tanpa membuang masa, Afeef terus menuju ke kaunter membeli tiket bas ke Chofu. Alya tidak sabar ingin melihat gemerlapan cahaya di bandar Tokyo pada waktu malam. Mereka keluar dari lapangan, menunggu queue bas untuk dinaiki. Afeef sempat memberi pesan pada Alya.
"Malam-malam begini, jangan buat bising tau..." Suara Afeef perlahan, tetapi masih boleh didengar jelas oleh Alya.
"Tau... nanti mengganggu orang lain kan, hmmm... Alya dah baca la rules-rules negara ni..." Alya dengan keyakinannya, lalu berpeluk tubuh.
"Risau je, adik gelak tak ingat dunia, pernah dengar beruang ketawa?" Afeef seakan mengusik adik bongsunya.
" Tak baik tau abang..." Alya mencebik dengan jelingan tajam. Tidak lama, dia sendiri terhibur dengan kata Afeef.
Kakak iparnya yang menumpang telinga, turut terhibur dengan borak mereka. Perbualan terhenti, Mereka menunggu konduktor bas menjemput penumpang masuk. Udara malam dihirup, menusuk terus ke kepala ke telinga, membuatkan dia rasa nyaman dengan suasana hening itu.
" Assalamualaikum Matahari terbit, pengembaraanku kini sudah bermula..."
#cerpen
#genrekehidupan
#tokyo
Gambar sekadar hiasan
Comments
Post a Comment